Walaupun orang Betawi dikatakan agak
ke belakang berbanding orang Jawa, Minang dan Madura yang dianggap sebagai kaum
pendatang, namun begitu, orang Betawi masih sinonim dengan proses pembangunan
yang berlaku di kota ini yang semasa pemerintahan Belanda diberi nama Batavia.
Setelah penjajahan Belanda berakhir,
Presiden Sukarno menukar nama Batavia kepada Jakarta kerana nama Batavia tidak
begitu sesuai dengan nuansa Indonesia kerana namanya masih berbau Belanda.
Sehingga kini, ahli-ahli sejarah
masih belum jelas asal-usul masyarakat Betawi ini sama ada nama Betawi itu
sendiri diberikan oleh Belanda kerana orang Betawi juga digelar sebagai Melayu
Jawa kerana bahasa dan budayanya berbeza dengan orang Jawa tulen.
Begitu juga dengan jumlah penduduk
Betawi. Tokoh-tokoh Betawi juga tidak mengetahui secara jelas jumlah sebenar
penduduk Betawi yang kini tinggal berselerak di beberapa buah kawasan di
Jabotabek (Jakarta, Bogor, Tangerang dan Bekasi). Ada yang menganggarkan jumlah
penduduk Betawi di seluruh Indonesia kira-kira empat juta dan sebahagian
besarnya bertumpu di sekitar Jakarta terutama di Condek, Kampung Melayu, Sawah
Besar, Tebet dan Depok.
Liku-liku kehidupan orang Betawi
sejak dulu hingga sekarang cukup mencabar terutama dalam menyaingi suku-suku
peribumi lain seperti Madura dan Jawa yang dikenal amat gigih dan bijak mencium
peluang ekonomi di kota metropolitan ini.
Banyak tanah orang Betawi yang
terpaksa dikorbankan atas nama pembangunan sehingga beberapa penempatan baru
telah disediakan oleh kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak merasa
terpinggir oleh arus pembangunan pesat yang melanda Jakarta.
Menurut seorang bekas pegawai
kerajaan dari suku Betawi, Abdul Razak Mohd, 62, walaupun nenek moyang mereka
meninggalkan pesan supaya anak-anak dan cucu-cicit mereka tetap mempertahankan
tanah warisan mereka, tetapi hakikatnya banyak tanah penduduk Betawi yang
berpindah tangan. Bagi orang Betawi, tanah dan tumbuh-tumbuhan adalah identiti
masyarakat Betawi yang perlu dipertahankan.
“Nenek moyang boleh berpesan tetapi
anak-cucu mereka tidak dapat menahan jika ada tawaran harga yang lumayan,” kata
Abdul Razak yang kini aktif sebagai ahli jawatankuasa Masjid Al-Hijrah, Condek.
Setelah bersembang seketika di
pekarangan masjid, Abdul Razak mempelawa penulis meninjau perkampungan yang
didiami oleh orang Betawi yang menurut beliau ada ciri-ciri khas yang tetap
dijaga oleh suku kaum ini.
“Walau sekaya manapun orang Betawi,
mereka akan memastikan rumah mereka redup dengan pokok-pokok buah-buahan kerana
mereka tidak lupa bahawa nenek moyang mereka adalah daripada masyarakat
petani,” jelasnya bangga.
Tidak hairan, di beberapa
perkampungan moden Betawi di sekitar Condek, suasananya lebih tenteram dan
sejuk kerana banyaknya pohon-pohon terutama pohon duku, rambutan dan salak.
Keistimewaan lain yang dimiliki oleh
orang Betawi adalah loghat bahasanya yang lebih berupa bahasa Melayu pasar atau
Melayu rojak. Loghat bahasa Betawi kini begitu meluas digunakan oleh warga kota
ini termasuk dalam drama-drama televisyen.
Sebelum ini khabarnya loghat Betawi
hanya dianggap bahasa pinggiran tetapi berkat usaha pelawak, pelakon dan
penyanyi terkenal, Benjamin Sueb atau lebih dikenali sebagai Benjamin S (kini
Allahyarham), loghat bahasa Betawi menjadi ikut-ikutan oleh para remaja dari
golongan menengah dan elit.
Sepanjang penglibatannya dalam seni,
Benjamin menjadi seperti hero bagi masyarakat Betawi. Kejayaan artis ini dalam
dunia hiburan di Indonesia bukan saja kerana bakat semula jadi yang ada pada
dirinya tetapi kemampuannya menampilkan suasana Betawi dalam ekspresi seninya.
Benjamin begitu berjaya mengangkat loghat bahasa dan budaya Betawi ke
tengah-tengah masyarakat Indonesia dengan loghat Betawinya.
Walaupun Benjamin S mungkin
dilahirkan untuk menjadi pelawak, orang Melayu Betawi memang dari generasi ke
generasi dikenal sebagai kaum yang dalam kehidupan harian mereka gemar
berjenaka kerana jika tidak lucu pun, orang yang mendengar loghat mereka
menganggapnya lucu.
“Bukan orang Betawi namanya jika
tidak pandai melucu,” kata Abdul Razak. Kelucuan bagi orang Betawi seolah-olah
membangun optimisme dalam menghadapi kehidupan.
Loghat Betawi banyak menggunakan
huruf ‘e’ di hujung perkataannya seperti “Abisnye ni harte bande kita nyang
begini luber siape nyang bakal urusin (Habisnya ini harta benda kita yang
begini banyak siapa yang bakal mengurusnya) dan “Dasar lu!… tobangke gile
(tobangke merujuk kepada orang tua bangka dan gile pula merujuk kepada gila).
Begitu juga dengan kepala menjadi
kepale, ngomong-ngomong mahunye ape sih (bicara-bicara mahunya apa), kalu
begini terus-terusen, lame-lame gue bise mati bediri, nih (kalau begini
terus-menerus, lama-kelamaan saya boleh mati berdiri, nih).
Bagi menggalakkan orang Betawi
bekerja keras mencari rezeki, alim-ulamanya sering memainkan pantun yang
berbunyi, “Ya Allah ya Rabbi, nyari untung biar lebi, biar bise pegi haji,
jiarah kuburan Nabi (Ya Allah Ya Rabbi, cari untung biar lebih, agar boleh
pergi haji, ziarah kuburan Nabi).
Selain Benjamin, tokoh lain yang
menyebarluaskan penggunaan loghat Betawi sebagai bahasa Melayu pasar yang
digemari oleh warga Jakarta adalah penyair besar Chairil Anwar dan wartawan
terkenal, Firman Muntaco. Chairil walaupun bukan dari suku Melayu Betawi tetapi
sering menampil loghat Betawi dalam karya seninya.
Begitu juga dengan Firman Muntaco
yang kolum popularnya “Gambang Djakarte” dalam sebuah akhbar terbitan tahun
1960-an menggunakan sepenuhnya bahasa Betawi.
Melalui kolumnya itu, Firman
menceritakan keadaan kehidupan masyarakat ketika itu dalam humor Betawi
sehingga kolumnya itu berjaya menaikkan jumlah cetakan akhbar Berita Minggu
kepada 400,000 naskhah iaitu satu jumlah amat besar pada zaman itu berbanding
akhbar terbesar sekarang iaitu Kompas dengan cetakan sebanyak 800,000 naskhah.
Orang Melayu Betawi juga tidak segan
jika kehidupan mereka sebagai penduduk asli Jakarta yang terpinggir didedahkan
termasuk menerusi media massa.
Oleh kerana itu, apabila artis Rano
Karno menerbitkan drama bersiri paling popular berjudul, Si Doel Anak Sekolahan
yang mengisahkan keperitan hidup keluarga Betawi yang hidup merempat di tanah
asal nenek moyang mereka, orang Betawi tidak merasakan satu penghinaan tetapi sebagai
peniup semangat.
Perwatakan Si Doel (lakonan Rano
Karno) adalah cermin kepada kegigihan seorang anak muda Betawi yang berjuang
dengan keperitan sebelum akhirnya berjaya memasuki sebuah universiti di Jerman
dan menceburkan diri dalam perniagaan.
Sebenarnya, watak yang dibawa oleh
Si Doel itu juga adalah gambaran sebenar mengenai kehidupan yang dilalui oleh
kebanyakan penduduk Betawi di kota ini yang semakin ramai mendekatkan diri
mereka dalam dunia perniagaan.
Sikap orang Betawi yang tidak
berdendam dan tidak suka bermusuhan turut menjadi faktor pendukung kenapa
orang-orang Cina lebih senang bersahabat dengan orang Betawi.
Bukan sesuatu yang menghairankan
jika banyak unsur kecinaan terdapat dalam bahasa dan budaya orang Betawi. Dalam
menjalin hubungan itu, orang Melayu Betawi banyak belajar selok-belok berniaga
daripada orang Cina yang menurut pandangan orang Betawi, “Orang Cina amat
pinter berniaga.”
Belajar daripada sikap orang Cina
itu, orang Betawi semakin pintar berniaga dan lebih cenderung bekerja sendiri
daripada makan gaji dengan pemerintah. Apabila usia anak lelaki sudah menganjak
remaja, ibu bapa mereka sudah mula menyindir agar anak-anak mereka
pandai-pandailah mencari wang sekolah sendiri.
Itulah caranya orang tua Betawi
mengajar anak mereka agar cepat berdikari seperti yang dilakukan oleh orang
Minangkabau.
Berdasarkan pemerhatian juga,
suasana di perkampungan orang Melayu Betawi juga lebih menonjol nilai
keislamannya. Ini berdasarkan kepada banyaknya terdapat masjid, sekolah pondok
(pesantren) dan kedai-kedai yang menjual barangan dari Timur Tengah.
Ini diakui sendiri oleh Abdul Razak
yang memberitahu bahawa masyarakatnya amat menekankan soal agama dalam
kehidupan harian.
“Perkampungan masyarakat Betawi juga
lebih aman daripada kegiatan jenayah dan orang luar juga berfikir banyak kali
untuk melakukan jenayah di kampung kami kerana orang Betawi sangat akrab
hubungan sesama mereka,” katanya.
Mengenai tokoh-tokoh besar Betawi,
beliau berkata, selain memiliki ulama besar seperti Guru Mansyur, Haji Aseni
dan Kiai Nur Ali, masyarakat Betawi juga berbangga dengan beberapa samseng yang
ditakuti pada akhir abad ke-19 seperti Si Pitung dan Puasa.
Menurut Abdul Razak, dalam
masyarakat Betawi, semua orang hebat seperti ulama dan samseng digelar “jagoan”
(jaguh). Si Pitung walaupun menjadi kaki pukul terkenal di zamannya tetapi ia
masih dianggap pahlawan kerana dia turut memainkan peranan besar dalam
menentang musuh masyarakat Betawi termasuk penjajah Belanda.
Ulama masyarakat Betawi juga bukan
setakat alim dalam hal keagamaan tetapi juga jaguh dalam dunia persilatan. Oleh
kerana itu, masih ramai orang Betawi sehingga kini menggelar ulama mereka
dengan panggilan jagoan.
Sebagai penghormatan kepada penduduk
asal kota ini, setiap kali perayaan menyambut ulang tahun Jakarta atau
penggantian gabenornya, tarian Betawi akan menjadi tarian pembuka tirai selain
diadakan pertandingan abang dan nona Jakarta yang disertai oleh jejaka kacak
dan gadis cantik dari suku itu.
Walaupun Allahyarham Benjamin sudah
tiada, pantun yang terselit dalam salah satu lagunya masih mencuit hati rakyat
Indonesia yang antara lain berbunyi, “Dang-dang tut, akar galing-galing, siape
yang kentut, ditembak raje maling (raja pencuri).”
“Selain Benjamin, artis yang masih
menjadi idola kami adalah P. Ramlee. Orangnya lucu tetapi telah lama filem P.
Ramlee tidak dapat lagi ditonton di Indonesia,” kata Abdul Razak menamatkan
perbicaraan dengan penulis sehari sebelum sambutan Aidiladha lalu. (rampaiseri.wordpress.com)
Label:
Silsilah